‘Cepatlah sembuh wahai anakku…’

IMPIAN untuk melihat anak bongsunya kembali sihat tidak pernah terpadam walaupun doktor memaklumkan budak berusia dua tahun itu sudah tiada harapan lagi.

Yasniza Yaakob, 39, ibu kepada Muhammad Muhaimin Rusmawi yang disahkan mengalami jangkitan kuman di otak sejak 10 bulan lalu, semakin reda dengan nasib menimpa anaknya.

Katanya, anaknya itu kini tidak lagi boleh berjalan, malah perlu diuruskan seperti bayi berikutan lumpuh seluruh badan menyebabkan dia terpaksa memberi susu melalui tiub di hidungnya.

Lebih menyedihkan, selain jangkitan kuman dalam otak, Muhammad Muhaimin yang juga anak bongsu daripada empat beradik turut mempunyai masalah saluran pernafasan sempit, lelah dan darah tinggi.

“Sebelum ini, Muhammad Muhaimin aktif dan banyak bercakap sejak berusia setahun empat bulan, malah suka mendengar lagu dikir barat.

“Namun keadaan itu berubah selepas dia tiba-tiba kekejangan selama sejam ketika mahu mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, pada Oktober tahun lalu, berikutan deman panas selama dua hari.

“Dia kemudiannya terus dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama sebulan kerana koma dan ditambah sebulan lagi di wad biasa,” katanya yang tinggal di Kampung Alor Batu, Selising, Pasir Puteh.

Yasniza yang berniaga di kedai runcit untuk menampung perbelanjaan, berkata hasil pemeriksaan doktor mendapati 90 peratus otak Muhammad Muhaimin bengkak menyebabkan dia perlu kerap berulang-alik ke HRPZ II dan Hospital Tengku Anis untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, doktor memberitahu Muhammad Muhaimin sudah tiada harapan selepas tiga kali menjalani Pemeriksaan Pengimejan Resonan Magnetik (MRI).

“Ibu mana boleh melihat keadaan anak yang hanya mampu terbaring dan saya sememangnya mengharapkan keajaiban akan berlaku.

“Saya ada cuba perubatan kampung dan mengurut, namun semua tidak menjadi, malah ada antara mereka turut berputus asa.

“Saya sendiri tidak boleh tumpu untuk berniaga, malah suami, Rusmawi Abd Satar, 40, yang bekerja kampung dengan pendapatan RM1,000 sebulan banyak menghabiskan masa menemani saya ke hospital,” katanya.

Menurutnya, perbelanjaan Muhammad Muhaimin mencecah RM1,000 sebulan termasuk susu khas yang disarankan hospital, selain perlu menanggung tiga anak berusia sembilan hingga 16 tahun yang masih sekolah.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Yasniza bernombor 0301541000064366.

 

 

Sumber: Sumber

 

Apa Kata Anda?