Kantin sekolah ala hotel, tapi harga berpatutan

“SAYA langsung tidak menjangka konsep kantin seperti hotel ini mendapat perhatian ramai sehingga tular dan dikongsikan ribuan individu di laman sosial Facebook,” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh Jaya, Ramlee Abu Bakar.

Ramlee berkata, beliau terkejut sebaik mendapat maklum balas ramai pihak yang memuji konsep kantin di sekolahnya kerana lain daripada lain hingga ia menarik minat guru dan murid.

Katanya, konsep kantin seolah-olah di hotel itu mula dirancang sejak tahun lalu dan ia dapat direalisasikan tahun ini selepas mendapat kerjasama daripada pihak pengusaha kantin.

“Kita merancang idea ini kerana berhasrat memberi galakan kepada guru dan murid untuk makan di sekolah tanpa perlu membeli makanan di luar sekolah.

“Ia selaras bagi memastikan guru dan murid mendapat makanan berkualiti serta menyihatkan pada harga berpatutan dan murah berbanding membelinya di luar,” katanya ketika ditemui di sekolah itu di Bukit Mertajam, hari ini.

Katanya, pengurusan sekolah juga mahu mewujudkan suasana kantin seperti berada di dalam hotel bertaraf lima bintang bersempena Pertandingan Amalan Pengurusan Kantin Terbaik peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sementara itu, pengusaha kantin terbabit Mohd Fahmi Ahmad, 35, berkata idea berkenaan dicetuskan isterinya, Nadirah Azizan, 34, di samping mahu membantu guru dan murid mendapatkan makanan terbaik pada harga berpatutan.

“Saya sedar untuk melaksanakan konsep ini memerlukan kos agak tinggi tetapi demi menggalakkan guru dan murid makan di sekolah, saya dan isteri tidak memikirkan sangat soal keuntungan sebaliknya berniat sambil berniaga, ia dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan.

“Berikutan itu, kami bersetuju dan bekerjasama dengan pihak sekolah dengan menyediakan 15 menu setiap hari yang pastinya berbeza dengan kantin yang terdapat di sekolah lain,” katanya.

Menurutnya, dia dan isteri mahu mengubah persepsi orang ramai bahawa penyediaan makanan di kantin sekolah dilaksanakan secara sambil lewa.

“Disebabkan itu, tidak ramai berminat untuk beli makanan di kantin sekolah dan lebih gemar makan di luar kerana menu yang disediakan kurang menarik.

“Justeru, bagi menarik minat dan mahu menceriakankantin sekolah, saya serta isteri mengubah konsep dan mempelbagaikan menu,” katanya.

Dalam pada itu, murid Mohd Nazif Ihsan, 11, berkata dia teruja membeli makanan di kantin sekolah yang hanya berharga antara RM1 hingga RM3 sahaja.

“Pelbagai menu menarik seperti ‘chicken chop’ dan ‘spaghetti’ dijual di kantin sekolah ini yang harganya tidak terlalu mahal.

“Sebelum ini, saya kerap beli makanan luar tetapi sejak ada kantin yang menyediakan menu menarik, saya hanya makan di sini sahaja,” katanya.

 

 

Sumber: Sumber

 

Apa Kata Anda?