Piala Dunia 2018: Kos RM30 juta, bukan RM40 juta

PETALING JAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menjelaskan kos pembayaran untuk membeli hak penyiaran Piala Dunia 2018 bernilai RM30 juta.

“RM30 juta bukan RM40 juta walaupun siling harga RM40 juta,” katanya pada sidang media di Putrajaya, petang Khamis.

Beliau berkata setakat ini kerajaan sudah memperoleh penajaan sebanyak RM15 juta bagi menampung kos tersebut.

 

“Setakat ini kita sudah dapat penajaan sebanyak RM15 juta manakala baki masih dalam proses untuk kita dapatkan penaja lain,” katanya.

Ditanya mengenai senarai syarikat yang menjadi penaja, Gobind berkata beliau akan memaklumkan mengenainya pada sidang media akan datang kerana beliau perlu mendapatkan pengesahan daripada penaja-penaja berkenaan.

“Ada senarai tapi saya nak dapatkan pengesahan terlebih dahulu. Ia akan diumumkan kemudian kerana saya mahu bersikap telus dan terbuka supaya anda tahu setiap butiran mengenainya,” kata ahli Parlimen Puchong itu.

Jelas Gobind, kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan tersebut selepas mengambil kira kejohanan itu hanya berlangsung empat tahun sekali.

“Apabila Kabinet buat keputusan perdana menteri ambil kira ini satu acara yang meliputi siaran di seluruh dunia.

“Ia hanya empat tahun sekali, jadi dalam keadan itu keputusan dibuat walaupun dalam jangka masa pendek iaitu dua minggu sebelum perlawanan bermula,” katanya.

Dengan memperoleh hak penyiaran itu, Gobind berkata ia dilihat sebagai satu cabaran untuk mengembalikan RTM sebagai satu siaran televisyen yang akan ditonton rakyat Malaysia.

RTM hanya akan menayangkan 41 daripada 64 perlawanan Piala Dunia 2018 dengan hanya 27 daripadanya disiarkan secara langsung, manakala bakinya secara siaran tertunda.

Format ini sama dengan siaran Piala Dunia pada 2014 di Brazil, di mana RTM menyiarkan sebanyak 35 perlawanan meliputi 24 siaran langsung dan 11 siaran tertunda dengan siaran berdefinisi tinggi (HD).

Acara yang diadakan empat tahun sekali ini akan menyaksikan Rusia sebagai tuan rumah dengan 32 negara dari lima konfederasi bola sepak yang bertanding di 12 tempat untuk memenangi piala yang berprestij itu.

Piala Dunia, yang digelar sebagai acara pertunjukan terbesar di dunia, akan bermula pada 14 Jun dengan Rusia sebagai tuan rumah bertembung dengan Arab Saudi dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium Luzhniki di Moscow pada pukul 6 petang (11 malam waktu tempatan).

Apa kata anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Kongsi Ya. Terima Kasih !! II

Sumber: Sumber

Apa Kata Anda?