Rayu dana sumbangan biaya anak ke Mesir

Rayu dana sumbangan biaya anak ke Mesir

Mohamad Sani (kiri) dan Nur Fatin kini terpaksa merayu sumbangan orang ramai bagi merealisasikan hasrat melanjutkan pengajian agama ke Mesir, awal April ini.

KUALA KURAU – Sebuah keluarga miskin merayu simpati orang ramai menyalurkan sumbangan ikhlas membantu membiayai pengajian anak sulung mereka dalam melanjutkan pelajaran ke Universiti Al Azhar, Mesir bagi sesi 2018/2019.

Bapa pelajar itu, Mohamad Sani Musa 49, berkata, kejayaan Nur Fatin Raihan,19, meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) berjaya mendapat perhatian dan  tajaan penuh daripada Majlis Agama Islam Negeri Perak (Maipk) di bawah zakat negeri.

Bagaimanapun, keadaan keluarganya yang miskin menyebabkan dia tidak mampu menyediakan kos tambahan bagi kegunaan anaknya  di Mesir nanti.

Mohamad Sani berkata, dia hanya bekerja di sebuah kilang memproses telur masin di Batu 14, di sini, dengan pendapatan harian sebanyak RM50 sahaja.

Manakala, isterinya Yusnani Yusoff,38, hanya bekerja sebagai guru sekolah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dengan hanya menerima elaun antara RM400 hingga RM500 sebulan.

“Dengan pendapatan itulah, kami membesarkan lima anak di mana tiga daripadanya masih bersekolah termasuk Nur Fatin Raihan yang bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, Pengajian Islam, Universiti Al-Azhar, awal April ini.

“Selain itu, kami turut menjaga ibu mertua yang lumpuh separuh badan dan memerlukan penjagaan rapi,” katanya ditemui media di rumahnya di Parit Abas, di sini, hari ini.

Mohamad Sani berkata, dia dan keluarga tidak ‘lepas tangan’ soal menyediakan kebajikan masa depan pembelajaran anak-anak mereka.

Cuma, dia kini buntu memikirkan kaedah terbaik menyediakan wang tambahan untuk kegunaan Nur Fatin nanti kerana kurang berkemampuan.

“Kos pengajian Nur Fatin sememangnya ditanggung sepenuhnya pihak terbabit termasuk kos penerbangan.

Nur Fatin menunjukkan surat tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar yang diterimanya bermula awal April ini.

“Cuma bantuan dipohon adalah untuk kegunaan hariannya di sana nanti termasuk membeli kitab-kitab dan bahan pembelajaran lain.

“Saya sudah berusaha termampu untuk menyediakan tambahan bajet lebih RM2,000, namun masih tidak mencukupi,” katanya.

Mohamad Sani berkata, keadaan itu ditambah dengan isterinya kini tidak bekerja sementara waktu kerana masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak kelima.

“Dalam keadaan hati yang berat, kami sekeluarga terpaksa mengharapkan sumbangan orang ramai untuk meringankan beban kami sekaligus merealisasikan hasrat Nur Fatin melanjutkan pengajian di Mesir,” katanya.

Nur Fatin Raihan merupakan antara tiga pelajar cemerlang dari Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al-Falah yang memperolehi keputusan Mumtaz dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) baru-baru ini.

Dia juga merupakan satu-satunya pelajar dari sekolah itu yang menerima tawaran melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam Universiti Al-Azhar, awal April ini.

Mana-mana individu dan badan korporat yang ingin menyumbang boleh menyalurkan terus sumbangan anda ke akaun Bank Islam 08077020371732 atas nama Mohamad Sani Musa atau hubungi 011-37663500 (Nurul Fatin).

Apa kata anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Kongsi Ya. Terima Kasih !! II

Sumber: Sumber

Apa Kata Anda?