Usia 12 tahun kena masak, basuh, kemas rumah

KOTA BHARU: Usianya baru 12 tahun tetapi sudah pun menggalas tanggungjawab besar apabila terpaksa memasak, membasuh dan mengemaskan rumah setiap hari.

Nor Atikah Maisarah memikul amanah itu bagi menggantikan tanggungjawab seorang ibu dengan melakukan tugas berkenaan demi bapanya yang sakit, Mohd Saidi Mohd Nor, 51 dan adik perempuannya, Nor Atikah Waheeda, 10.

Dia yang ditinggalkan ibu kandung sejak berusia enam tahun, sudah lali dengan kerja rumah seawal usia lapan tahun lagi.

Malah, tanggungjawabnya semakin bertambah apabila tangan kanan bapanya mengalami gangguan saraf manakala kedua-dua matanya menjadi kabur akibat kemalangan jalan raya motosikal Februari lalu.

Sepanjang Ramadan, Nor Atikah yang juga murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Mentuan di sini bangkit seawal jam 3 pagi setiap hari untuk menyediakan juadah sahur untuk mereka bertiga.

Nor Atikah berkata, biasanya dia akan memasak beberapa jenis lauk iaitu ayam masak kicap, masak pedas, ikan singgang atau telur goreng namun ada ketikanya hanya memanaskan lauk yang dibeli pada waktu siang.

“Kalau ayah ada duit, saya dan adik akan berjalan kaki ke pasar berhampiran untuk membeli ayam dan barang mentah untuk memasak tapi kerap juga kami hanya makan berlaukkan telur dan berkuahkan budu.

“Ketika ayah masih boleh bergerak cergas dulu saya hanya membantu ayah memasak, namun sejak ayah sudah uzur dan tidak mampu sangat untuk berjalan, saya yang mengambil alih sepenuhnya tugas itu dengan dibantu adik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gertak Kechupu, Binjai di sini.

Kemalangan yang menimpa Mohd Saidi ketika mengambil dua beradik itu pulang dari sekolah awal tahun ini menyebabkan kesusahan hidup tiga beranak itu semakin dirasai.

Sebelum ini Mohd Saidi bekerja sebagai tukang rumah dengan upah sekitar RM700 sebulan, namun kini mereka hanya bergantung kepada belas ihsan saudara mara dan sumbangan orang kampung menziarahi mereka.

Malah pada hari biasa, Nor Atikah Maisarah dan adiknya tidak membawa wang saku ke sekolah sebaliknya hanya mengalas perut dengan sarapan pagi menerusi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sahaja.

Nor Atikah Maisarah berkata, untuk persiapan Aidilfitri yang bakal tiba, dia dan adiknya mendapat sumbangan daripada guru yang memberikan baju raya.

“Cuma tudung dan kasut raya sahaja yang belum dibeli. Kalau boleh nak yang warna biru dan adik pula nak kasut warna merah,” katanya.

Keluarga mereka dikunjungi Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) melalui wakilnya, Hazira Ahmad Zaidi yang tampil menyumbangkan wang zakat menerusi program Kita Kongsi.

Selain itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel Grand Riverview (GRV), Raja Rusmin Datuk Raja Mahmud turut menyerahkan sumbangan makanan serta lauk yang sudah dimasak pihak hotel untuk keluarga itu berbuka puasa dan bersahur.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada keluarga ini boleh menyalurkan ke akaun Bank Rakyat milik Nor Atikah Waheeda Mohd Saidi iaitu 22-105-134880-6.

 

Sumber: beritaharian

Apa Kata Anda?