‘Ya Allah, saya bersyukur sangat-sangat’

JOHOR BAHRU: Kehidupan wanita tukang sapu, Julia Isnin, yang terpaksa meninggalkan tiga anaknya termasuk bayi berusia empat bulan di kedai dobi bagi membolehkannya bekerja kini lebih selesa dengan bantuan pelbagai pihak.

Sejak berita mengenai keperitan hidupnya disiarkan BH, beliau menerima pelbagai bantuan daripada banyak pihak termasuk ditawarkan bekerja di Pasaraya Econsave di Taman Daya, dekat sini.

Malah pasar raya itu juga membantu menjelaskan tunggakan bil elektrik yang menyebabkan bekalan elektrik dipotong selain bayaran bil selama setahun, sekali gus memberi kehidupan selesa kepada keluarga itu.

Julia, 41, berkata beliau bersyukur selepas kisahnya disiarkan akhbar, ramai pihak tampil menghulurkan bantuan dan berharap pekerjaan baharu dan sumbangan itu memberi kehidupan lebih selesa kepada anaknya.

Gambar fail, Julia Isnin memangku anaknya Mohd Iskandar 4 bulan ketika berada di kedai dobi. – Foto Ernalisa Othman

Katanya, selain ditawarkan pekerjaan di pasar raya itu, syarikat itu juga membantu menjelaskan tunggakan bil elektrik rumahnya.

Beliau berkata, syarikat itu juga turut menyumbang basikal bagi kemudahannya untuk ke tempat kerja, selain pelbagai barangan keperluan dapur.

“Ya Allah, saya bersyukur sangat-sangat. Saya tidak sangka macam-macam rezeki kami terima. Ini sebenarnya rezeki anak-anak. Terima kasih kepada semua pihak. Saya juga diberi ruang untuk memilih waktu kerja bagi memudahkan menguruskan anak. Saya tidak tahu nak cakap apa lagi.

“Saya fikir kalau sebelum ini hidup susah, dengan apa yang diterima sekarang, saya bersyukur sangat. Orang bagi kita kerja ikut masa kita, bagi kita barang dapur yang banyak. Rezeki anak semua ini,” katanya ketika ditemui di hari ini.

Julia juga merancang akan mencari penjaga untuk bayinya, Mohd Iskandar Shahri, sementara menunggu beliau selesai waktu bekerja, selain menyusun jadual bagi memudahkan persekolahan anaknya.

Katanya, hidupnya berubah sekelip mata apabila kisahnya dilaporkan di akhbar dan ramai pihak datang mencarinya di dobi itu untuk menyampaikan sumbangan peribadi dan tidak kurang ingin melihat bayinya yang terpaksa ditinggalkan di dobi bersama dua lagi anaknya ketika dia bekerja.

“Rasa macam tak percaya. Sekelip mata berubah. Betul orang kata, rezeki yang datang ini pelbagai cara Tuhan nak bagi. Saya pun tak sangka. Memang rezeki anak-anak. Saya bersyukur,” katanya.

Suami Julia tidak dapat dikesan sejak kira-kira setahun lalu.

Sementara itu Pengurus Operasi Econsave, Mas Imran Adam berkata, langkah pihaknya menyumbang barangan keperluan harian dan membantu menyelesaikan tunggakan bil elektrik dibuat atas dasar tanggungjawab korporat.

“Selain tawaran bekerja, kita juga memberikan sumbangan basikal supaya senang beliau berulang alik ke tempat kerja. Kita juga membantu keluarga ini selesaikan tunggakan bil elektrik, selain membantu menjelaskan bayaran bil elektrik dan air untuk tempoh setahun,” katanya.

Mas Imran berkata, sepanjang tahun lalu sahaja, pihaknya membantu hampir 30 individu daripada keluarga susah termasuk orang kurang upaya (OKU) bekerja di pasar raya berkenaan.

Katanya, bantuan itu hasil kerjasama pihak media yang melaporkan mengenai kisah orang kurang kemampuan dan OKU.

Pada 28 Mac lalu, BH dan Harian Metro memaparkan kisah Julia yang terpaksa mengambil upah menyapu sampah di deretan premis rumah kedai dekat Larkin Perdana hingga memaksanya meninggalkan bayi berusia empat bulan ditemani anak perempuannya, Nor Farahin Shahri,11 dan Mohd Azhar Shahri, 13.

Apa kata anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Kongsi Ya. Terima Kasih !! II

Sumber: Sumber

Apa Kata Anda?