Jawapan Nabi SAW Bila Ditanya “Apakah (akhlak) Islam Yang Terbaik?” Adalah ..

Akhlak Islam Yang Terpuji

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْإِسْلَامِ خَيْرٌ قَالَ تُطْعِمُ الطَّعَامَ وَتَقْرَأُ السَّلَامَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَمَنْ لَمْ تَعْرِفْ

Daripada Sayyidina Abdullah bin Amru Radiayallahu ‘Anhuma bahawasanya seseorang bertanya kepada Nabi saw: “Apakah (akhlak) Islam yang terbaik?”. Rasulullah saw menjawab:

“Kamu memberikan makanan dan kamu memberikan salam kepada orang yang telah kamu kenali dan kepada kepada orang yang kamu tidak kenali.”

(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Beberapa pengajaran penting:

1. Perbuatan yang terpuji adalah memberikan makanan serta memberikan salam kepada manusia sama ada dikenali atau tidak dikenali. Ini jelas menunjukkan bahawa Islam mengajar kita agar sentiasa menjalinkan hubungan silaturrahmi yang baik sesama manusia agar dapat merapatkan serta mengukuhkan tali persaudaraan sesama insan melalui amalan tersebut

2. Orang Islam perlu sentiasa mengambil berat terhadap kesengsaraan dan kesusahan yang dihadapi oleh orang lain dengan berkongsi sedikit rezeki yang ada untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan sagar dapat meringankan beban serta menggembirakan hati mereka. Sekiranya amalan ini dapat diterapkan dalam kehidupan, nescaya ikatan ukhuwah dan kasih sayang di antara kita akan tersemai di dalam hati tanpa membezakan di antara orang yang kaya atau miskin

3. Lafaz salam yang diajarkan oleh Rasululah saw adalah dengan menggunakan lafaz السلام عليكم. Walaupun begitu, kita juga boleh menggunakan lafaz سلام عليكم kerana ia adalah lafaz salam di syurga, sedangkan lafaz yang pertama adalah lafaz salam semasa kita berada di dunia ini serta lebih afdhal diucapkan. Namun begitu lafaz salam yang paling sempurna adalah السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.

Oleh itu, jika seseorang itu sanggup memberikan salam kepada mana-mana individu yang ditemui sama ada dikenali ataupun tidak, ini jelas membuktikan bahawa seseorang itu memiliki sifat tawadu’ dan merendah diri sesama Muslim

4. Hadith ini juga jelas menunjukkan bahawa Islam sentiasa mengajar umatnya agar mewujudkan sifat kasih sayang dan mengambil berat antara satu sama lain sama ada terhadap Muslim mahupun non Muslim, di mana sifat ini jelas ditekankan dalam kalam baginda. Oleh itu segala sikap yang membawa kepada permusuhan, perbalahan serta persengketaan adalah sikap yang tidak sepatutnya diwujudkan dalam masyarakat Muslim kerana Islam adalah rahmat bagi setiap manusia dan kepada alam seluruhnya.

 

 

Sumber: dakwahtv.net

Apa Kata Anda?