Solat Bukan Part Time

CELIK mata waktu pagi terlihat khidmat pesanan ringkas atau WhatsApp dalam telefon, “PM mahu jumpa pukul 10 pagi hari ini”. Pasti kita yang hanya orang biasa – bukan ketua bahagian atau ketua cawangan, berada dalam keadaan tidak keruan. Serba-serbi tidak kena, takut, baju apa nak pakai, topik apa yang nak dibincangkan dan sebagainya.

Itu baharu orang kenamaan di negara ini, cuba bayangkan jika menerima jemputan daripada Yang Maha Berkuasa iaitu pemilik mutlak seluruh alam semesta ini. Secara logiknya, pasti kita akan teruja tetapi secara praktikalnya majoriti yang bukan sebegitu.

Allah menjemput kita secara eksklusif untuk mengadap-Nya sebanyak lima kali sehari, tidak salah dikatakan bahawa ramai daripada kita bukan sahaja tidak menyahut, malah terdapat juga yang mengabaikannya terus. Sombong dan bongkak, seolah-olah segala nikmat yang diperoleh selagi bernafas di atas muka bumi ini hak milik kekal.

Melayu di negara ini amat unik kerana cukup sinonim dengan agama Islam – Melayu adalah Islam dan tidak sebaliknya. Sehubungan itu, bangsa yang penuh toleransi ini amat sensitif apabila kalimah Allah cuba diperkotak-katikkan, walaupun pada masa sama sesetengah daripada mereka langsung tidak menghiraukan larangan dan suruhan pemilik nama Yang Maha Esa itu, termasuklah agak liat untuk mendirikan solat – salah satu daripada Rukun Islam.

Dalam kebanyakan kes, solat dilaksanakan secara terpilih, langsung tidak dimartabatkan sebagai kewajipan mutlak seorang hamba kepada pencipta. Ada yang hanya seminggu sekali iaitu pada hari Jumaat, setahun dua kali – sunat Aidilfitri dan Aidiladha.

Banyak hadis Rasulullah SAW menyentuh mengenai sembahyang, antara sabda Baginda ialah, “Anak kunci syurga ialah sembahyang,” – Riwayat Imam Ahmad; “Batas pemisah di antara seseorang dengan kekafiran adalah meninggalkan solat,” – Riwayat Bukhari dan Muslim; “Solat itu tiang agama, sesiapa yang mengerjakannya maka ia menegakkan agamanya dan sesiapa yang meninggalkannya ia meruntuhkan aga­manya,” – Riwayat Bukhari dan Muslim.

Beberapa tahun lalu, pakar motivasi, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah mendedahkan hasil kajiannya yang mendapati 80 peratus umat Islam di negara ini tidak menyempurnakan solat lima waktu. Statistik ini tidak boleh dipandang mudah kerana solat adalah tiang agama, sekiranya tiang sesuatu struktur itu tidak kuat maka bangunannya boleh runtuh pada bila-bila masa.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Indeks Syariah Malaysia yang bertujuan memartabatkan syiar dan syariat Islam yang didukung kerajaan. Semua pihak perlu menyahutnya, jangan biarkannya sekadar ‘dasar gajah putih’ semata-mata. Luaskan pelaksanaannya dalam setiap aspek kehidupan rakyat di negara ini. Antaranya jadikan solat sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) setiap penjawat awam Melayu Islam di semua sektor – atasan dan bawahan. Pihak swasta juga dipelawa untuk amalkan KPI ini. Mungkin ramai beranggapan cadangan ini adalah perkara remeh-temeh, lebih baik utamakan perkara lain yang bersifat global dan hebat pada namanya.

Perlu diingati, tujuan utama Allah menciptakan manusia dan jin adalah untuk beribadah serta menjadi hamba cemerlang di dunia dan mampu melepasi proses pengauditan di akhirat kelak. Jika kepada Allah pun manusia itu gagal me­laksanakan tanggungjawabnya, bagaimana pula kepada organisasi yang diwakilinya? Ini amat berkait rapat dengan konsep ihsan dalam Islam yang secara ringkasnya bermaksud melaksanakan sesuatu ibadah dengan perasaan penuh yakin seolah-olah ia dilihat terus oleh Allah SWT.

Menghayati sifat ihsan ini akan membantu umat Islam mewujudkan kualiti kerja cemerlang dan berinovatif, sekali gus akan memperkasakan jati diri dan meningkatkan harga diri pekerja itu sendiri. Memetik petikan yang selalu dikongsi dalam WhatsApp, “Solat bukan part time, bukan sometimes, bukan no time tapi mesti full time, kalau boleh over time’.

 

 

Sumber: Dakwahtv

Apa Kata Anda?