Inilah Manusia Yang Sebelah Kaki Di Syurga Dan Sebelah Lagi Di Neraka.

Soalan:

Benarkah sebelah kaki kita di syurga dan sebelah lagi di neraka jika kita mempelajari atau memasuki bidang undang-undang?

Jawapan :

Bagi menjawab persoalan di atas, kami tidak menemui matan hadith seperti yang disebutkan di atas iaitu sebelah kaki di syurga dan sebelah kaki lagi di neraka bagi seorang peguam atau hakim setelah ditekuni dan diteliti. Akan tetapi, terdapat sebuah hadith yang maknanya hampir sama seperti yang dimaksudkan di atas iaitu:

Daripada Buraidah bin al-Hashib RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْقُضَاةُ ثَلَاثَةٌ: وَاحِدٌ فِي الْجَنَّةِ، وَاثْنَانِ فِي النَّارِ، فَأَمَّا الَّذِي فِي الْجَنَّةِ فَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَقَضَى بِهِ، وَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَجَارَ فِي الْحُكْمِ، فَهُوَ فِي النَّارِ، وَرَجُلٌ قَضَى لِلنَّاسِ عَلَى جَهْلٍ فَهُوَ فِي النَّارِ
“Para qadhi terbahagi kepada tiga golongan; satu dalam syurga dan dua dalam neraka. Qadhi di dalam syurga ialah yang mengetahui kebenaran lalu menghukum dengannya. Qadhi mengetahui kebenaran lalu menzalimi dalam menghukum maka dia dalam neraka. Qadhi yang menghukum antara manusia dalam keadaan jahil pula, dia juga dalam neraka”.
[Riwayat Abu Daud 3573, Syeikh Syuaib al-Arnaouth menghukum hadith ini sebagai sahih dengan syawahid-syawahid dan jalur-jalurnya]

Hadith ini menunjukkan bahawa qadhi (hakim) tidak akan berjaya daripada api neraka melainkan mereka yang mengetahui kebenaran dan beramal dengannya. Beramal (dengan kebenaran yang diketahui) adalah utama kerana sesiapa yang mengetahui kebenaran tetapi tidak beramal dengannya dan barangsiapa yang berhukum dalam keadaan yang jahil keduanya akan ke neraka. 

Zahirnya, sesiapa yang berhukum dengan kejahilan walaupun hukumannya itu bertepatan dengan kebenaran tetapi ia tetap juga di neraka kerana dia telah menjatuhkan hukuman tersebut. 

Telah berkata jika dia berhukum kepada manusia dalam keadaan jahil dan hukuman tersebut bertepatan dengan kebenaran sedangkan dia seorang yang jahil dalam berhukum, padanya terdapat ancaman pada berhukum dengan kejahilan atau bertentangan dengan kebenaran yang diketahuinya.
[Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 353/9] Penutup Kesimpulannya, menghukum sesuatu perkara merupakan satu tugas yang amat berat, lebih-lebih lagi jika ia melibat maruah dan diri seorang insan. Walaubagaimanapun, seseorang yang telah berijtihad mengikut kemampuannya walaupun keputusannya tidak tepat akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT dengan satu ganjaran disebabkan usahanya. 

Jika seseorang itu telah berijtihad dan ijtihadnya tepat akan diberikan dua ganjaran oleh Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang bertakwa kerana keadilan itu lebih hampir kepada takwa sebagaimana firman Allah SWT. Amin. Wallahua’lam. + Mufti Wilayah Persekutuan

 

Sumber: Ohmedia

Apa Kata Anda?