Perkongsian Seorang Suami Detik-Detik Isterinya Gagal Melawan Kuman Dalam Darah Serta Merosakkan Organ-Organ Dalam Badan Dan Pergi Meninggalkan Tiga Anak Kecil

Saya selalu membayangkan yang abah atau emak yang akan pergi dahulu. Lazimnya begitulah kerana faktor usia mereka yang semakin tua.

Jadi saya cuba bersedia dari segi emosi dan fizikal jika perkara itu terjadi. Saya sudah ada skrip tentang bagaimana ianya berlaku dan apa yang harus saya lakukan.

Namun, pemergian seorang isteri adalah perkara terakhir yang saya jangkakan. Tidak pernah membayangkan yang dia akan pergi secepat itu.

Demi Allah saya tidak bersedia.

Namun itulah hakikat yang saya dan anak-anak perlu terima. Setiap yang hidup pasti akan mati. Kami akur kami redha.

Sepanjang hidup saya, sudah ramai saudara mara dan sahabat handai yang telah pergi dahulu. Ramai juga yang telah saya bantu sempurnakan jenazah mereka hingga ke kuburan.

Sudah agak biasa bagi saya memandikan jenazah dan masuk ke liang lahad. Saya cuba menabur bakti buat kali terakhir untuk semua yang saya kenali dan sayangi.

Namun menguruskan arwah isteri adalah sesuatu yang diluar jangka.

Di dalam keadaan yang masih terkejut dan sangat berduka, saya mencuba yang sebaiknya. Memandikan jenazah isteri adalah suatu pengalaman yang sebolehnya tidak ingin sama sekali untuk saya lalui.

Pahit dan luluh melihat sekujur tubuh yang tidak lagi bernyawa yang pernah meneman siang dan malam saya selama belasan tahun.

Pilu ketika menggosok dan membersihkan tangan kaku yang pernah menyuapkan makan ke mulut ini, yang menggosok baju yang dipakai ini yang berpenat lelah menguruskan tiga anak kecil ini.

Pilu ketika membersihkan bibir yang pernah mengungkapkan kalimah cinta, yang pernah berjanji untuk bersama hingga ke akhir usia, yang pernah berpesan untuk menjaga amanahnya bila dia tiada.

Allahuakbar, hanya tuhan yang tahu betapa ingin saya memeluknya ketika itu dan menangis sepuasnya.

Namun saya tahan, saya gagahkan diri meneruskan hingga ke akhirnya.

Ketika selesai dikafankan, anak-anak saya di bawa masuk.

Saya kaget, gementar, berombak dada, tersekat nafas dan hampir longlai rasanya. Apakah yang harus dikhabarkan kepada si kecil bertiga bila melihat ibunya.

Khaleef tiada reaksi ketika saya menceritakan yang ibunya telah tiada. Sesungguhnya dia belum mengerti ketika itu.

Beliau hanya mencium dahi ibunya bila disuruh dan mengucapkan selamat tinggal.

“Goodbye mommy, I love you” ungkapnya apabila disuruh.

Begitu juga Khaleel, yang agak keberatan melihat dan mencium ibunya dan berat untuk mengungkapkan sebarang kata.

Ketika baby Khaleed diberikan kepada saya, kepiluan mula melanda. Namun saya cuba mengungkap kata. Cuba untuk memberitahu yang ibunya kini sudah tiada.

Namun, saya rebah.

Baby Khaleed segera disambar dari pelukan saya.

Allahuakbar, saya tidak kuat. Sesungguhnya saya tidak kuat untuk melihat bayi sekecil itu yang harus berpisah dari kasih sayang seorang ibu.

Kelam rasanya dunia.

Kosong rasanya jiwa.

Bersedia?

Sudah tentu tidak, kerana kebiasaanya yang tua akan pergi terlebih dahulu. Itulah aturannya. Jadi kita leka, kita tidak menduga.

Pada usia 39 tahun, isteri saya dijemput pulang ke negeri abadi.

Sesungguhnya kami sekeluarga tidak bersedia. Hari saya hantar beliau ke hospital, saya anggap paling lama pun dia akan bermalam sehari dua di hospital dan akan dibenarkan pulang.

Ye lah, sakit perut dan muntah sahaja pun.

Namun dalam masa 2 hari sejak hari pertama beliau jatuh sakit, dan 3 hari selepas dimasukkan ke hospital dia pergi meninggalkan saya dengan 3 anak yang masih kecil.

Benar, kematian itu adalah sesuatu yang tidak tertangguh.

Beliau meninggal dunia akibat jangkitan kuman yang menyebabkan kegagalan pelbagai organ dalaman. Di dalam bahasa hospitalnya “severe sepsis with multi-organ failure”.

Punca jangkitan? Saya dan para doktor masih tidak dapat jawapannya.

Mulanya, sangat sukar untuk percaya kata-kata doktor yang isteri saya sedang tenat dan sangat kritikal. Sukar untuk hadapi doktor demi doktor dari pelbagai team yang mengungkapkan keputusan yang sama.

Luluh bila para doktor berkata yang mereka telah lakukan yang terbaik namun harapannya adalah tipis. Jiwa jadi kosong, hilang dan terbang bersama suara doktor yang membawa perkhabaran sebegitu.

Wajah anak-anak kecil datang bersilih ganti. Bagaimanakah hidup kamu nanti tanpa seorang ibu. Bisakah ayah ini menjadi keduanya untuk kamu semua.

Usai selesai urusan di bilik mayat, jenazah dibawa ke Masjid Besi, Putrajaya untuk disembahyangkan.

Baby Khaleed yang kebetulan ada berhampiran van jenazah mendepa-depakan tangan kegembiraan ke arah van seolah melihat ibunya datang untuk mendukungnya.

Habis hiba mereka yang melihatnya.

Usai solat Asar, imam masjid menawarkan agar saya mengimamkan solat jenazah.

Tuan sendiri imamkan arwah isteri yer? pinta imam.

Jangan ustaz balas saya, walapun teringin namun saya pasti tidak mampu untuk melakukannya.

Ustaz imamkanlah pinta saya.

Baiklah, namun tuan harus bercakap sedikit nanti kepada para jemaah usai solat nanti yer, pinta imam. Baik, jawab saya.

Selesai solat saya berterima kasih kepada semua jemaah dan memohon agar dimaafkan isteri saya anda ada kesalahan dan dihalalkan segala makan minumnya dan jika ada hutang tuntutlah dengan saya.

Seterusnya jenazah di bawa ke kuburan.

Peluang terakhir ini saya ambil untuk turunkan sendiri isteri ke rumah terakhirnya . Anak-anak ada memerhati kelibat ibu mereka buat kali terakhir.

Alhamdulillah, semuanya selesai dengan baik dan cepat.

Allah telah mempermudahkan segala urusan isteri saya yang sememangnya ketika hidup beliau sangat suka membantu dan mempermudahkan urusan orang lain.

Semoga segala amalan baik beliau ketika hidup diterima Allah SWT.

Ameen Ya Rabb.

………………………..

Semoga para pembaca dapat mengambil ikhtibar dari kisah saya.

Sentiasalah bersedia kerana hidup ini singkat.

Belajarlah mengurus rumah tangga bagi suami yang tidak pernah mencuba membantu isteri di rumah. Belajarlah vakum dan mop lantai, cuci pinggan mangkuk, sidai baju dan sebagainya.

Belajarlah juga menguruskan anak, menukar lampin, buat susu dan medodoikan mereka sekiranya selama ini hanya isteri yang melakukannya.

Belajarlah memasak serba sedikit agar perut-perut yang kosong dapat diisi bila pasangan tiada di sisi.

Belajarlah menjadi kuat kerana peluang yang ada untuk menguruskan pasangan yang meninggal perlu digunakan sebaiknya.

Belajarlah dan biasakanlah diri dengan jenazah. Mandikanlah jenazah jika ada peluang kerana mungkin pengalaman itu dapat digunakan ke atas pasangan kita nanti.

Belajarlah jadi cekal kerana ketika itu anda perlu membuat banyak keputusan. Banyak soalan perlu dijawab, nak diuruskan di mana? nak dikebumi di mana?nak dibawa balik ke mana? nak mandi dan kafankan di hospita atau di rumah dan pelbagai persoalan yang harus dijawab.

Belajar juga menjadi imam solat jenazah, mungkin itulah solat terakhir yang kita bersamanya.

Sesungguhnya mati itu adalah pasti.

Sudah hampir 3 minggu isteri pergi meninggalkan saya dan anak-anak. Alhamdulillah, saya semakin cekap di dalam melakukan tugas di rumah. Dah pandai buat laundry tau.

Cuma hal lipat melipat ni belum nampak jalan. Mujur adik saya datang setiap hujung minggu membantu melipat dan menyusun pakaian.

Rutin hari bekerja agak kelam kabut. Setiap pagi saya mesti berpeluh seolah-olah berlari marathon.

Kena bangun awal sebelum baby bangun. Usai subuh terus siapkan beg dan perkakasan sekolah mereka bertiga. Belari naik turun tangga dari bilik ke dapur dan dapur ke bilik.

Kemudian baby akan bangun, susukan dulu atau mandikan dulu, ikut keperluan. Kemudian biarkan dia berlegar merangkak menjelajah bilik dan mengejutkan abang-abangnya.

Kemudian kejutkan si adik untuk mandi dan siapkan dia. Selepas itu barulah abang, akhir sekali kerana dia paling liat nak bangun.

Kemudian ketiga-tiganya nak berdukung ke bawah. Semua malas nak turun tangga. Maka dengan skill seorang ahli sarkis maka semuanya dapat turun ke bawah serentak.

Masukkan barang dalam kereta paling mudah, namun nak masukkan ketiga-tiga beradik tu mak aiii, macam-macam kerenah.

Ada yang taknak selipar, nak kasut, ada yang taknak duduk carseat, ada yang duduk tapi taknak pakai seatbelt. Si abang suruh buang carseat nak duduk seat biasa dan pakai seatbelt macam “grown-ups”. I’m a big boy katanya.

Dah selesai, si abang dan adik di belakang dan baby di depan maka bergegaslah ke tadika. Perjalanannya juga agak mencabar, 30 minit dari rumah ke sekolah.

Kena ingat lagu, kena pandai jawab soalan, kena pandai jawab teka teki, kena acah-acah baby kat sebelah kalau tak dia mengamuk.

Sampai di sekolah. Fuhh lega ya amat.

Barulah dapat cari mamak atau gerai untuk bersarapan. Seterusnya ke pejabat dan rutin bekerja seperti biasa.

Jam 5.30 petang maka bergegas semula ke sekolah. Inilah waktu paling seronok. Sampai sahaja maka anak-anak akan menjerit daddy, daddy, daddy.

Bahagianya Ya Allah.

Kemudian berperang lagi nak masuk kereta. Lepas tu siap tanya belikan apa untuk mereka. Kena ada walau sekeping coklat atau apa sahaja.

Kemudian berceritalah tentang harinya di sekolah. Seronok.

Sampai di rumah biasanya sekitar maghrib, maka misi lain bermula.

Ada yang nak mandi, ada yang nak berak, ada yang nak susu. Bergaduh nak bagi makan ikan, bergaduh berebut toys, bergaduh berebut channel tv. Si baby pula senyap-senyap merangkak masuk ke bawah meja makan. Apa yang dicarinya pun tak tahulah.

Korang bergaduhlah dulu, daddy solat sekejap.

Panaskan makanan. Hidangkan untuk si abang dan adik. Sila makan sendiri dan dengan amaran, jangan main-main baling makanan. Selang 5 minit sambil menyuapkan si baby, maka nampaklah abang sedang menuang sup di atas kepala adik dan adik pula tuang sup ke dalam gelas si abang.

Begitulah.

Selesai makan, benarkan mereka bersama ipad sekejap. Jam 8.30 atau sebelum jam 9 malam, semuanya dikerah ke bilik untuk tidur. Berperang juga nak tidur. Kena tidurkan baby dahulu. Baby dah tidur barulah dapat buat sessi bedtime stories dengan si abang dan adik.

Macam-macam cerita dia minta dan mujur daddy ni kreatif orangnya. Segala cerita fiksyen berkisahkan singa, harimau, katak, baby shark, helikopter, basikal serta dinasour bergabung.

Usai jam 9.30 atau paling lambat jam 10.00 maka tidurlah semuanya. Barulah daddy dapat makan dan berehat sekejap.

Kemudian masak untuk esok kalau perlu dan kemas rumah sikit. Lepas tu baru boleh buka laptop. Tulis sesuatu di FB, balas komen setakat mampu dan cuba semampunya untuk sambung menulis manuskrip untuk buku-buku saya yang akan datang.

Sebelum jam 12 malam saya cuba tidur.

Jam 2 pagi dan 4 pagi pasti bangun lagi apabila baby merengek hendakkan susu. Jam 6 pagi bangun untuk mulakan kitaran hari yang baru.

Begitulah.

Memang tidak perfect, memang tidak lengkap namun rutin perlu diteruskan.

Penat?

Usah cakap lah.

Bahagia?

Sememangnya, bila anak-anak membesar di depan mata.

Sumber : Facebook Khairul Abdullahvia viwanita

Apa Kata Anda?