Kisah Bahtera Nabi Nuh

Soalan:

Boleh terangkan kepada kami berkenaan dengan perbuatan Nabi Nuh, bahteranya dan besar bahteranya?

Jawapan:

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَاصْنَعِ الْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا وَلَا تُخَاطِبْنِي فِي الَّذِينَ ظَلَمُوا ۚ إِنَّهُم مُّغْرَقُونَ

“Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan).” (Surah Hud: 37)

Dalam menjawab persoalan ini, kami dapati banyak riwayat. Secara umumnya, kami nyatakan seperti berikut bahawa Allah SWT perintahkan Nabi Nuh membina kapal dengan menanam pokok al-Saj terlebih dahulu selama 20 tahun. Kemudian membina kapal menggunakan kayu tersebut selama 40 tahun. Ada pendapat 100 tahun dan ada pendapat 400 tahun.

Adapun bentuk dan keluasan kapal, terdapat banyak riwayat, antaranya:

  • Panjangnya 300 hasta, lebarnya 50 hasta dan tingginya 30 hasta.
  • Panjangnya 300 hasta, lebarnya 60 hasta dan tingginya tidak disebut.
  • Panjangnya 1200 hasta, lebarnya 600 hasta dan tingginya tidak disebut.
  • Panjangnya 400 hasta, lebarnya 30 hasta dan tingginya tidak disebut.

Pendapat yang paling kuat dan ramai adalah yang pertama.

Adapun bentuknya seperti yang diriwayatkan bahawa Jibril AS mengajarnya membina kapal dan Allah memerintahkannya untuk menjadikan kepala kapal seperti kepala ayam jantan dan bahagian depannya seperti burung. Ekornya seperti ekor ayam jantan. Ia mempunyai tiga tingkat. Dipakukan dengan paku besi untuk menguatkan antara kayu-kayu.

Tingkat yang pertama untuk haiwan buas dan binatang yang melata serta singa. Pada tingkat kedua, binatang liar dan burung. Dan tingkat ketiga adalah manusia. Dikatakan bilangan anak Adam atau manusia yang menyertai kapal tersebut:

  • 80 orang, separuh lelaki dan separuh perempuan.
  • Ada pendapat 72 orang dan isteri Nabi Nuh dan anak-anaknya yang mencukupkan 78 orang, separuh daripadanya lelaki dan yang lain perempuan.
  • Ada pendapat 10 orang.
  • Ada pendapat lain daripada itu.

Adapun mereka terapung dalam air atau dalam banjir selama 150 hari kemudian baru mendarat pada 10 Rejab dan kekal dalam kapal selama sebulan dan turun ke bumi pada 10 Muharram. Tempat yang ia mendarat di atas bukit dikenali al-Judi.

Dalam hal ini, kami nyatakan firman Allah SWT:

حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَمْرُنَا وَفَارَ التَّنُّورُ قُلْنَا احْمِلْ فِيهَا مِن كُلٍّ زَوْجَيْنِ اثْنَيْنِ وَأَهْلَكَ إِلَّا مَن سَبَقَ عَلَيْهِ الْقَوْلُ وَمَنْ آمَنَ ۚ وَمَا آمَنَ مَعَهُ إِلَّا قَلِيلٌ ﴿٤٠﴾ وَقَالَ ارْكَبُوا فِيهَا بِسْمِ اللَّـهِ مَجْرَاهَا وَمُرْسَاهَا ۚ إِنَّ رَبِّي لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٤١﴾ وَهِيَ تَجْرِي بِهِمْ فِي مَوْجٍ كَالْجِبَالِ وَنَادَىٰ نُوحٌ ابْنَهُ وَكَانَ فِي مَعْزِلٍ يَا بُنَيَّ ارْكَب مَّعَنَا وَلَا تَكُن مَّعَ الْكَافِرِينَ

(Nabi Nuh terus bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: “Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman”. Dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja. Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): “Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: ‘Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya’. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir.” (Surah Hud: 40-42)

Untuk mendapat penerangan yang jelas, sila rujuk kitab al-Durru al-Manthur (8/41-76), al-Kasyfu wa al-Bayan (5/167-175), Tafsir Ibnu Abi Hatim (6/2025), Tafsir Ibn Kathir (4/320), Tafsir al-Siraj al-Munir (2/63), Tafsir al-Tabari (15/312-340), Adwa’ al-Bayan dan lain-lain.

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita. Amin.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber: OhMedia

Apa Kata Anda?