Hukum Jumpa Tukang Sihir Untuk Ubati Sihir.

Soalan

Bolehkah kita pergi berjumpa tukang sihir dengan tujuan mendapatkan khidmat mengubati sihir yang dihadapi?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pandangan Islam Tentang Perbuatan Sihir

Dari segi bahasa, sihir dalam Lisan al-Arab disebut: “Tukang sihir seakan-akan memperlihatkan kebatilan dalam kebenaran dan menggambarkan sesuatu tidak seperti hakikat yang sebenarnya. Dengan demikian, dia telah menukar sesuatu daripada hakikat yang sebenarnya. (Lihat Lisan al-‘Arab, 4/348)

Dari segi istilah, Ibnu Qudamah berkata: “Sihir ialah ikatan, jampi dan perkataan yang diucapkan atau ditulis atau dibuat sesuatu yang mendatangkan kesan dan akibat buruk terhadap tubuh orang yang disihir atau terhadap hati dan akalnya tanpa menyentuhnya secara langsung. (Lihat al-Mughni, 9/34)

Rasulullah SAW menyebut sihir sebagai salah satu daripada perbuatan dosa besar. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ

Maksudnya: “Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.”

Riwayat al-Bukhari (2766)

Ulama bersepakat bahawa mempelajari sihir, mengajar serta mempraktikkannya adalah haram. Ibn Qudamah berkata: “Sesungguhnya mempelajari sihir dan mengajarkannya adalah haram. Tidak ada khilaf padanya dalam kalangan ahli ilmu.” (Lihat al-Mughni, 8/151)

Imam al-Nawawi berkata: “Adapun mempelajarinya (sihir) dan mengajarkannya, maka hukumnya adalah haram.” (Lihat Muslim bi Syarh al-Nawawi, 14/176)

Hukum Jumpa Tukang Sihir untuk Ubati Sihir

Hukum pergi kepada tukang sihir bagi memintanya mengubati sihir yang dihadapi adalah haram. Hal ini kerana apabila seseorang pergi menemui tukang sihir untuk mengubati sihir yang dihadapi, jelas perbuatan tersebut membawa kepada pergantungan kepada selain Allah SWT. Ia boleh membawa kepada syirik kepada-Nya.

Dr Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fatawa al-Mu’asirah berkata: Diharamkan untuk pergi kepada tukang sihir sama ada untuk melakukan sihir atau pengubatan sihir. Maka semua itu sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis Nabawi adalah salah satu jenis daripada syirik kepada Allah SWT kerana ia adalah keyakinan dengan mengetahui yang ghaib atau pengubatan penyakit melalui perantaraan selain Allah SWT. (Lihat al-Fatawa al-Mu’asirah, hlm. 319)

Barangsiapa yang pergi kepada tukang sihir dan tidak mempercayainya, maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksudnya“Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam.”

Riwayat Muslim (5957)

Manakala, Barangsiapa yang pergi berjumpa dan mempercayainya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang telah diwahyukan oleh Allah SWT kepadanya hal-hal yang ghaib. Tidak ada yang mengetahui hal-hal ghaib kecuali Allah SWT. (Lihat al-Fatawa al-Mu’asirah, hlm. 319)

Sabda Nabi SAW:

مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ

Maksudnya“Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.”

Riwayat Ahmad (9171)

Perlu difahami bahawa sihir tidak mungkin dilawan dengan sihir. Begitu juga kejahatan tidak mampu untuk membatalkan kejahatan yang lain. Yang mampu membatalkannya hanyalah Allah SWT. Hal ini sebagaimana kisah Nabi Musa dengan ashab Firaun yang dicatatkan dalam al-Quran:

فَأُلْقِيَ السَّحَرَةُ سُجَّدًا قَالُوا آمَنَّا بِرَبِّ هَارُونَ وَمُوسَىٰ

Maksudnya(Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa”.

(Surah Taha: 70)

Ibn Kathir berkata: Setelah tukang sihir itu melihat dan menyaksikan hal tersebut, sedangkan mereka sendiri juga mempunyai keahlian tentang berbagai jenis sihir, ilmu dan caranya, maka mereka dengan yakin mengetahui bahawa apa yang dilakukan oleh Musa itu bukan termasuk sihir dan tipu daya, dan bahawasanya hal itu merupakan suatu yang haq (benar) yang tidak diragukan lagi. Hal itu tidak dapat dilakukan kecuali oleh Tuhan yang jika mengatakan “jadilah” kepada sesuatu, maka pasti terjadi. Pada saat itulah para tukang sihir tersebut tersungkur seraya bersujud kepada Allah SWT dan berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam, Tuhan Nabi Musa dan Nabi Harun.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 9/350)

 

Menggunakan Jampi (Ruqyah) yang Syar’ie

Dalam hal ini, Islam menyediakan solusi tersendiri iaitu menggunakan ruqyah (jampi) yang berasaskan ayat-ayat al-Quran dan al-Sunnah dalam mengubati sihir dan seumpamanya.[1] Allah SWT berfirman:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

MaksudnyaDan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya;

(Surah al-Isra’: 82)

Imam al-Syaukani Rahimahullah berkata: “Para ulama berbeza pendapat berkaitan makna “al-syifa” (penawar) kepada dua pendapat:

  • Menjadi penawar bagi hati dengan hilangnya kebodohan, lenyapnya keraguan dan terbukanya tabir yang akan membawa kepada Allah SWT.
  • Menjadi penawar bagi penyakit-penyakit yang zahir dengan ayat-ayat ruqyah, perlindungan dan sebagainya.

Tidak menjadi masalah jika al-syifa’ (penawar) yang dimaksudkan dibawa pada kedua-dua makna tersebut”. (Lihat Fath al-Qadir, 3/300)

Imam al-Baghawi berkata: “Ruqyah (jampi) yang dilarang adalah ruqyah yang di dalamnya terdapat kesyirikan atau disebutkan di dalamnya jin-jin jahat, atau ruqyah yang bukan berbahasa Arab dan tidak diketahui apa hakikatnya. Hal ini kerana boleh jadi ruqyah itu telah dimasuki oleh sihir atau kekafiran.

Adapun ruqyah (jampi) dengan menggunakan al-Qur’an dan Zikrullah, maka sesungguhnya hal itu adalah boleh malah dianjurkan. Ini kerana, Nabi SAW pernah meniup (menjampi) pada dirinya dengan surah-surah al-Mu’awwizat (al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas)”. (Lihat Syarh al-Sunnah, 12/159)

Daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا اشْتَكَى يَقْرَأُ عَلَى نَفْسِهِ بِالْمُعَوِّذَاتِ وَيَنْفُثُ فَلَمَّا اشْتَدَّ وَجَعُهُ كُنْتُ أَقْرَأُ عَلَيْهِ وَأَمْسَحُ بِيَدِهِ رَجَاءَ بَرَكَتِهَا

Maksudnya“Bahawa Rasulullah SAW jika sakit, beliau membacakan pada dirinya sendiri al-Mu’awwizat (ayat-ayat perlindungan) dan meniupkannya. Jika rasa sakitnya bertambah, maka saya yang membacakan kepada Baginda dan mengusapkannya dengan tangan Baginda dengan mengharap barakahnya.”

Riwayat al-Bukhari (5016) dan Muslim (5844)

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Abi Sa’id R.A, beliau berkata bahawa Jibril datang kepada Nabi SAW lalu berkata: “Ya, Muhammad! Apakah tuan sakit?” Jawab Baginda SAW: “Ya.” Lalu Jibril membacakan:

بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ مِنْ كُلِّ شَىْءٍ يُؤْذِيكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِيكَ بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ.

Maksudnya“Dengan menyebut nama Allah, aku membacakan ruqyah untukmu dari segala sesuatu yang menganggumu dari kejahatan setiap jiwa dan pengaruh ‘ain. Semoga Allah menyembuhkanmu.”

Riwayat Muslim (5829)

Sebagai penutup, sesungguhnya mendatangi tukang sihir lain untuk mengubati sihir yang terkena adalah haram sama sekali. Kami mengesyorkan agar jumpalah perawat-perawat yang menggunakan ruqyah berasaskan ayat-ayat al-Quran dan al-Sunnah dalam mengubati sihir. Atau sekiranya mampu, boleh merawat sendiri berdasarkan petunjuk Qurani dan hadis Nabawi.

Kami nukilkan juga di sini keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-33 yang bersidang pada 11 Oktober 1993 berkenaan Amalan Ilmu Hitam/Sihir:

  • Perbuatan sihir adalah dosa besar dan boleh membawa kepada syirik dan hukum mempelajarinya adalah haram.
  • Pengamal sihir yang mendatangkan mudharat kepada manusia adalah berdosa besar dan pelaku jenayah, maka wajib dihukum qisas/hudud.
  • Pihak berkaitan hendaklah menyediakan peruntukan undang-undang bagi menghukum pengamal-pengamal yang sabit melakukan sihir.

Akhir sekali, semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepada syirik kepada-Nya dan serta mengurniakan kepada kita kefahaman dalam mengamalkan suruhan-Nya.

Untuk maklumat lebih lanjut tentang sihir, kami pernah menjawabnya dalam Al-Kafi # 253: Pendirian Islam Berkenaan Sihir[2] dan Al-Kafi #557: Bagaimana Merawat Isteri Disihir?[3] Bolehlah merujuk pada kedua-duanya.

Wallahua’lam.

Video:

Sumber: muftiwp

Apa Kata Anda?