Siapakah Nabi Zulkifli As

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Boleh kisahkan pada kami berkenaan Nabi Zulkifli AS?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Firman Allah SWT:

وَإِسْمَاعِيلَ وَإِدْرِيسَ وَذَا الْكِفْلِ ۖ كُلٌّ مِّنَ الصَّابِرِينَ

MaksudnyaDan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Dzu al-Kifl; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar.

(Surah al-Anbiya’: 85)

Ibnu Kathir Rahimahullah berkata: Adapun Dzu al-Kifl, yang zahir daripada nas bahawa beliau tidaklah digandingkan bersama para nabi melainkan beliau sememangnya seorang Nabi. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/476)

Beliau turut berkata: Yang zahir, penyebutan Dzu al-Kifli di dalam al-Quran dalam bentuk pujian yang digandingkan bersama para nabi menunjukkan bahawa Dzu al-Kifl adalah nabi AS. Inilah pendapat yang masyhur. Ada sebahagian ulama lain yang mendakwa bahawa beliau bukan nabi, sebaliknya orang yang soleh dan hakim yang bijaksana lagi adil. Ibnu Jarir tawaqquf (tidak memberikan pendapat) dalam masalah tersebut. Wallahua’lam. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/476. Lihat juga Qisas al-Anbiya’, 1/370 dan al-Bidayah wa al-Nihayah, 1/259)

Ibnu Juraij berkata daripada Mujahid berkenaan firman-Nya: ” وَذَا الْكِفْلِ” (serta Dzu al-Kifl), katanya: Beliau ialah orang soleh, bukan seorang nabi. Beliau ditugaskan untuk menangani urusan kaumnya dan mengadili perkara mereka dengan adil. Beliau pun melakukannya, maka kerana itu beliau dinamakan Dzu al-Kifl. Begitu juga yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Najih daripada Mujahid. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/477 dan al-Bidayah wa al-Nihayah, 1/259)

Abu Hayyan al-Andalusi berkata:

قَالَ الْأَكْثَرُونَ: هُوَ نَبِيٌّ

Maksudnya: Majoriti ulama mengatakan, “(Dzu al-Kifl) adalah seorang nabi.” (Lihat al-Bahr al-Muhith,7/460)

Syeikh al-Maraghi berkata: Adapun Nabi Dzu al-Kifl AS – digelar sebagai al-Kiflu yang bererti yang bertuah atau bertanggungjawab – akan tetapi ulama’ berbeza pendapat dalam mengemukakan kisahnya. Menurut pendapat majoriti, Baginda merupakan seorang nabi, manakala anaknya Nabi Ayub AS telah dilantik sebagai nabi setelah Nabi Dzu al-Kifl AS w4fat. Oleh yang demikian, Baginda diberi nama Dzu al-Kifl. Baginda diperintah oleh Allah SWT supaya menyeru manusia kepada mentauhidkan-Nya, kemudian Baginda bermukim di Syam sepanjang hayatnya.

Abu Musa al-Asy’ari dan Mujahid berpendapat, Baginda bukanlah seorang nabi, bahkan hanya hamba yang soleh yang telah dilantik menjadi khalifah oleh Nabi Ilyasa’ AS dengan syarat Baginda mampu berpuasa pada siang hari, mampu bangun pada waktu malam hari, dan tidak cepat m4rah. Lantas Baginda mengerjakan apa yang disyaratkan itu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4484)

Sayyid Qutb berkata: Dzu al-Kifl tidak begitu dikenali. Kita tidak dapat menentukan zamannya dan tempatnya. Pendapat yang lebih rajih mengatakan beliau dari kalangan para nabi Bani Israel.

Ada pula yang mengatakan beliau dari kalangan tokoh-tokoh orang yang soleh dari Bani Israel. Beliau telah membuat kesanggupan kepada salah seorang daripada nabi-nabi mereka sebelum w4fatnya nabi itu bahawa beliau akan menggantikannya dalam masyarakat Bani Israel dengan syarat beliau sanggup melakukan tiga perkara, iaitu melakukan ibadat di waktu malam, berpuasa pada siang hari dan tidak m4rah semasa menjalankan tugas kehakiman. Beliau telah menyempurnakan semua kesanggupannya itu dan kerana itulah beliau dinamakan Dzu al-Kifl (orang yang menunaikan kesanggupan).

Tetapi semua cerita ini merupakan cerita-cerita yang tidak bersandarkan kepada apa-apa dalil. Nas al-Quran yang disebut di tempat ini sudah cukup untuk merakamkan sifat Dzu al-Kifl AS:

وَأَدْخَلْنَاهُمْ فِي رَحْمَتِنَا ۖ إِنَّهُم مِّنَ الصَّالِحِينَ

MaksudnyaDan Kami masukkan mereka dalam (kumpulan yang dilimpahi) rahmat Kami: sesungguhnya mereka adalah dari orang-orang yang soleh.

(Surah al-Anbiya’: 86)

Untuk merakamkan sifat sabar itulah yang menjadi tujuan disebutkan nabi-nabi tersebut di dalam ayat ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 11/86)

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:

وَاذْكُرْ إِسْمَاعِيلَ وَالْيَسَعَ وَذَا الْكِفْلِ ۖ وَكُلٌّ مِّنَ الْأَخْيَارِ

MaksudnyaDan (ingatkanlah peristiwa) Nabi lsmail, dan Nabi Alyasak, serta Nabi Dzu al-Kifl; dan mereka masing-masing adalah dari orang-orang yang sebaik-baiknya.

(Surah Sad: 48)

Daripada Ibn Abi Hatim, daripada Kananah bin al-Akhnas, beliau berkata: Aku mendengar Abu Musa al-Asy’ari R.A berkata:

ما كان ذوالكفل نَبيا وَلَكِن كَانَ رجل صَالح يُصَلِّي كُلَّ يَوْمٍ مِائَةَ صَلَاةٍ، فَتَكَفَّلَ لَهُ ذوالكفل من بعده فَكَانَ يصلى كل يَوْم مائَة صَلَاة، فَسمى ذاالكفل.

Maksudnya: “Dzu al-Kifli bukanlah seorang Nabi, sebaliknya beliau ialah orang soleh yang setiap hari melakukan solat sebanyak seratus kali. Oleh kerana itu, beliau dinamakan Dzu al-Kifl.”

Ibnu Jarir telah meriwayatkan daripada jalur Abd al-Razzaq dan Mua’ammar dari Qatadah, dia berkata: Abu Musa al-Asy’ari berkata seperti yang disebut di atas. (Lihat Qisas al-Anbiya’, 1/373)

Ibnu Kathir Rahimahullah juga telah menceritakan dengan panjang lebar berkaitan Dzu al-Kifli ini dalam kitabnya Qisas al-Anbiya’ (1/370-380). Kami nukilkannya seperti berikut: “Secara zahir, al-Quran menyebutkan sanjungan Allah SWT kepada Dzu al-Kifl bersamaan dengan para nabi. Ini menunjukkan bahawa dia adalah seorang nabi. Semoga Allah melimpahkan selawat dan salam kepadanya. Inilah pendapat yang masyhur.

Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari jalur Daud bin Abi Hind, dari Mujahid, bahawa dia berkata: “Setelah al-Yasa’ berusia lanjut, maka beliau berkata, “Adakah orang yang akan menggantikanku, mengurus dan bekerja untuk orang ramai pada baki usiaku ini, hingga aku dapat melihat dia bekerja?” Maka beliau lalu mengumpulkan orang ramai dan berkata, “Barangsiapa menerima tiga permintaanku, maka akan aku jadikan penggantiku; iaitu puasa di siang hari, solat di malam hari, dan menahan mar4hnya.”

Mujahid melanjutkan, “Maka bangkitlah seorang lelaki yang dipandang hina oleh masyarakat, dia berkata, “Aku.” Al-Yasa’ berkata, “Apakah kamu sanggup puasa di siang hari, solat di malam hari, dan menahan mar4h?” Dia menjawab, “Ya.”

Mujahid melanjutkan, “Maka al-Yasa’ mengulanginya pada hari itu dan pada hari lain dengan pertanyaan yang sama. Orang ramai terdiam. Orang tadi bangkit dan berkata, “Aku.” Maka al-Yasa’ melantiknya untuk menjadi penggantinya.

Mujahid berkata, “Maka Iblis berkata kepada para syaitan, “Goda lah si fulan.” Mereka pun angkat tangan dan tidak sanggup melakukannya. Iblis berkata, “Biar aku sendiri yang tanganinya.” Maka Iblis mendatanginya dalam rupa seorang yang sangat tua yang faqir. Iblis mendatanginya di kala Dzu al-Kifli hendak berbaring berehat pada siang hari. Sebelumnya dia masih belum tidur sama ada siang atau malam kecuali waktu tersebut.

Iblis mengetuk pintu. Maka Dzu al-Kifli bertanya, “Siapa?” Iblis menjawab, “Seorang tua yang dizalimi.” Maka Dzu al-Kifli bangkit dan membuka pintu. Kemudian Iblis bercerita panjang lebar seraya berkata, “Ada satu konflik yang terjadi antara diriku dan kaumku. Mereka menz4limiku dan memperlakukanku dengan sewenang-wenangnya.” Iblis terus berbicara sehingga waktu istirehat pun habis. Lalu Dzul Kifli berkata, “Apabila malam telah tiba maka datanglah ke mari, aku akan kembalikan hakmu.”

Ketika malam tiba, Dzu al-Kifli berada di tempatnya dan mengamati sekiranya ada si tua tadi. Dia tidak melihatnya dan dia pun bangkit meninggalkan tempat itu.

Keesokan harinya Dzu al-Kifli disibukkan dengan pekerjaannya, mengadili urusan-urusan orang ramai. Dia menunggu orang tua faqir yang dizalimi tersebut, namun tidak menemuinya. Tatkala dia kembali ke rumah untuk istirehat siang, maka pintu rumahnya diketuk oleh seseorang. Dia berkata, “Siapa?” Maka Iblis berkata, “Si tua yang dizalimi.”

Dia pun membuka pintu seraya berkata, “Bukankah aku telah katakan kepada mu bila aku dalam pekerjaanku maka datanglah?” Iblis menjawab, “Mereka adalah sejahat-jahat kaum. Apabila mereka mengetahui bahawa engkau sedang dalam pekerjaanmu, maka mereka mengatakan, “kami akan memenuhi hakmu”. Namun apabila engkau bangkit (pulang), maka mereka menentangmu.” Dzu al-Kifli berkata, “Pergilah, nanti malam datang padaku.”

Dengan demikian, maka hilanglah waktu tidur siangnya. Kemudian pada malam harinya dia menunggu-nunggu orang tua tadi, tetapi tidak kunjung tiba, hingga akhirnya dia dihinggap rasa mengantuk, lalu dia berkata kepada anggota keluarganya, “Jangan biarkan seorang pun dekati pintu ini sehingga aku dapat tidur, kerana aku merasa mengantuk.”

Pada saat itulah muncul orang tua tadi seraya berkata, “Aku sudah menemuinya kelmarin dan sudah aku ceritakan masalahku kepadanya.” Lalu keluarganya berkata, “Tidak, demi Allah, dia telah menyuruh kami agar tidak membiarkan seorang pun mendekati pintu ini.”

Setelah tidak berhasil memujuk keluarganya itu, dia melihat ada lubang angin pada rumahnya, lalu dia masuk melalui lubang angin itu, hingga tiba-tiba dia sudah berada dalam rumah dan mengetuk pintu dari dalam rumah. Dzu al-Kifli kemudian berkata, “Hai fulan, bukankah aku telah menyuruhmu agar tidak ada yang mendekati pintu ini?”

Iblis menjawab, “Memang aku tidak dibenarkan masuk, tetapi lihatlah dari mana aku boleh masuk.”

Kemudian Dzu al-Kifli bangkit dan menuju ke pintu dan ternyata pintu masih tertutup seperti asal dia menutupnya. Dia tertanya-tanya dari mana orang ini masuk, hingga akhirnya dia tahu lalu bertanya, “Adakah kamu musuh Allah?”

“Ya, engkau telah menjadikan aku tidak mampu untuk menakluki dirimu. Aku telah berusaha sedaya upaya seperti yang engkau lihat untuk membuat-mu m4rah.” Jawabnya.

Oleh kerana itulah, Allah menamakan-nya Dzu al-Kifli (yang memilki kemampuan), kerana dia telah memikul satu perintah dan mampu menunaikannya. (Lihat Qisas al-Anbiya’, 1/370-380)

Dzu al-Kifli dikatakan hidup sekitar tahun 1500-1425 SM dan meninggal pada usia 75 tahun di Damsyiq, Syria. Terdapat beberapa pendapat berkenaan tempat yang didakwa sebagai makam Dzu al-Kifli. Antaranya:

  • Di Kifl, Iraq berdekatan Najaf dan al-Hillah.
  • Di Nawa, Syria.
  • Di perkampungan Kifl Haris di kawasan Nablus di Palestin.
  • Di Jabal Qasiyun, Damsyiq.

Walaubagaimanapun, ini semua sebagai dakwaan tanpa mempunyai nas yang sahih lagi nyata. Tiada kenyataan rasmi oleh mana-mana tokoh ilmuan kecuali hanya menyebut ‘dikatakan’ sahaja. Justeru, menetapkannya dengan secara tepat adalah tidak boleh untuk dipegangnya. Kami lebih selesa untuk tawaqquf dalam isu seperti ini sehingga datang dalil yang terang lagi sarih.

Semoga Allah mengurniakan kepada kita sifat kesabaran seperti nabi Dzu al-Kifli dan nabi-nabi yang lain yang dikurniakan keimanan yang teguh berkenaan kepada kepercayaan kepada nabi-nabi dan rasul-rasul. Amin.

 

Sumber: Mufti wp

Apa Kata Anda?